Isu salah guna visa umrah: Usah jejas imej Malaysia-Saudi

Card Image

PUTRAJAYA: Umat Islam yang cuba sengaja menyalahgunakan visa umrah atau pun visa pelancong untuk menunaikan haji boleh dianggap mencemarkan nama baik Malaysia.

Malahan menurut Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, tindakan mereka itu juga mengancam imej positif negara ini.

“Kita bimbang isu ini jika masih lagi berlaku turut boleh jejas hubungan akrab Malaysia dengan pihak Arab Saudi,” katanya dalam sidang akhbar di Masjid Putra, di sini malam tadi selepas merasmikan siri Kursus Perdana Haji Musim 1444H Peringkat Wilayah Persekutuan selama dua hari sehingga hari ini dihadiri hampir 1,900 orang bakal jemaah.

Semalam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi kenyataannya mengingatkan umat Islam agar tidak mengeksploitasi visa umrah bagi mengerjakan haji dengan mengambil kesempatan sengaja tinggal lebih masa di kota suci Mekah.

Musim haji tahun ini dijadualkan mulai 18 Jun sehingga 19 Julai depan dan dalam tempoh itu, sesiapa yang tiada visa haji akan dianggap sebagai kes pendatang asing tanpa izin.

Mengulas lanjut, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia berkata, isu itu bukan baharu dan sudah lama berlarutan sejak dahulu termasuk rakyat pelbagai negara.

“Bukan sahaja langgar peraturan imigresen Arab Saudi bahkan dari segi ‘roh’ Rukun Islam kelima itu sendiri pun dibimbangi tahap kualiti ibadah tidak diterima oleh Allah,” katanya.

Sambil bersetuju dengan nasihat tegas pihak Motac, beliau menambah, kerajaan negara itu kelazimannya ada sekatan di kesemua pintu masuk Mekah untuk memeriksa jemaah.

Malah ujarnya, sejurus musim umrah berakhir, Arab Saudi akan membuat pemeriksaan menyeluruh di setiap hotel di tanah suci bagi menangkap jemaah yang tidak ada visa haji.

Langkah tegas itu jelasnya, turut meliputi penduduk warga tempatan sendiri yang wajib memiliki permit haji dan dilakukan cuma sepanjang musim haji bagi mengawal kesesakan.

Penerbangan pertama ditetapkan TH pada 21 Mei ini manakala penerbangan terakhir pula pada 21 Jun depan iaitu kira-kira seminggu sebelum bermula hari wukuf di Arafah. – UTUSAN